Makhluk Mitos Melayu #1

Anda pernah dengar Loch Ness? Yeti? Naga ataupun serigala jadian? Itu adalah contoh haiwan mitos kepercayaan masyarakat luar. Sebagai contoh naga dipercayai oleh masyarakat cina dahulu kala. Siap gambaran bentuk naga yang dilukis malah diasimilasikan di dalam kepercayaan contohnya seperti Tahun Naga.
Orang Melayu juga turut tidak terkecuali. Penulis telah membuat kajian dan mendapati orang Melayu turut mempunyai kepercayaan terhadap haiwan mitosnya tersendiri. Kamus Dewan mendefinisikan mitos sebagai cerita zaman dahulu yang dianggap benar atau dipercayai, misalnya cerita asal usul, cerita kewujudan sesuatu bangsa, kejadian alam atau cerita dongeng mengenai kehebatan seseorang tokoh. Hashim Awang pula menyatakan bahawa mitos adalah jenis cerita rakyat yang mengisahkan mengenai manusia atau makhluk dan peristiwa luar biasa yang di luar logik fikiran manusia.
Geruda
Antara haiwan mitos yang wujud di dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Hikayat ini menceritakan tentang peperangan angkatan Merong Mahawangsa yang diserang oleh Geruda.
Maka Raja Merong Mahawangsa pun menarik busar anak panah yang bernama Ayun-ayunan itu keudara, bergemuruhlah bunyinya seperti halilintar membelah.Maka Raja Merong Mahawangsa pun segera memanah dengan anak panahnya Berana Pura itu keudara bergemuruh perginya hendak mengenai burung geruda ituDemi dilihat oleh Raja Merong Mahawangsa hal anak panahnya itu tewas tiada jua memberi bekas pada burung geruda itu, maka terlalulah marahnya lalu dibalas pula suatu anak panahnya, dipanahkan naik keudara bergempita gemuruh bahananya di dalam laut itu, seketika datanglah seekor burung jentayu menghambat burung geruda.” –Petikan Hikayat Merong Mahawangsa
Ianya menjadi hikayat yang menyeronokkan malah menjadi cerita kepada penglipur lara pada zamannya. Malah lambang Geruda menjadi perlambangan kerajaan Melayu lama.
Sang Kelembai
Watak misteri. Penyelidik masih berbelah bahagi samada Sang Kelembai digambarkan sebagai manusia, gergasi atau dewa dewi malah ada menyebutnya sebagai pari-pari. Sang Kelembai yang dikatakan pernah berlaku di sebuah kampung di Lenggong, Perak.
Menurut orang-orang kampung, Sang Kelembai bukan jenis manusia. Di muka gua Gunung Tasik ada batu tergantung yang besar. Menurut orang kampung batu tersebut mempunyai rahsia tersendiri.
Di zaman antah-berantah di mana Sang Kelembai memuja batu tersebut dan (ada baiknya juga Sang Kelembai itu) sesiapa yang hendak meminjam pinggan mangkuk untuk mengadakan majlis kenduri kahwin bolehlah memukul batu tersebut dengan batang tepus, dan berserulah beberapa banyak pinggan mangkuk yang hendak dipinjam. Dalam sekejap masa sahaja keluarlah pinggan mangkuk bertimbun-timbun dari batu tersebut.
Demikianlah baiknya Sang Kelembai yang dianggap makhluk yang serupa manusia tetapi luar biasa kerana buah dadanya panjang dan terpaksa disangkutkan di bahu. Di suatu ketika seorang raja telah mengahwinkan puteranya di tempat yang bernama Hulu Jepai iaitu berdekatan dengan beberapa gua yang dijadikan istana.
Selepas kenduri sang raja yang telah meminjam pinggan mangkuk terlupa hendak memulangkannya sehinggalah beberapa tahun kemudian sang raja tersebut mengahwinkan pula seorang puterinya yang jelita.
Sang Kelembai marah dengan perangai raja yang mementingkan diri sendiri itu dan tidak pula suka menolong rakyatnya yang ditimpa kesusahan. Dia mengambil keputusan untuk melihat perayaan perkahwinan yang besar dan banyak menggunakan harta rakyat, lalu berjalan ke arah istana raja di Hulu Jepai itu.
Orang-orang besar istana lalu memberitahu raja bahawa Sang Kelembai telah berada di pintu gerbang istana dan tidak ada sesiapa yang berani menahannya. Raja sangat marah dengan kedatangan Sang Kelembai yang tidak diundang itu. Tetapi raja lupa bahawa pinggan mangkuk yang digunakan dalam istiadat perkahwinan itu dipinjam daripada Sang Kelembai dan tidak dikembalikan semula.
Sang Raja lalu menyuruh pengawal-pengawalnya menghalau Sang Kelembai dari dalam istana. Sang kelembai yang selama ini dianggap banyak menolong manusia yang susah tidak dapat menahan perasaan marahnya, lalu dia terus menyumpah Sang Raja.
Kerana sumpahan itu Sang Raja dan permaisuri serta seisi istana telah menjadi batu termasuk juga pinggan mangkuk, segala hidupan, katil, kelambu dan sebagainya. Itulah sumpah Sang Kelembai terhadap raja yang mementingkan diri sendiri. Istana raja yang disumpah itu terkenal hingga sekarang dengan panggilan Gua Puteri.

Comments